HIDUP ini tidak selalunya indah. Ada pasang surutnya. Adakalanya, kita berada di atas, ada kalanya juga kita di bawah. Tidak semua apa yang kita impikan dapat digapai. Benar, jika apa yang diharapkan tidak berhasil, pasti terpalit rasa sedih.
Sungguhpun begitu, itu bukan alasan untuk terus bermuram dan berduka. Itulah realiti yang perlu diterima kerana kehidupan ada pasang surutnya. Barangkali episod hitam yang pernah dilalui oleh seseorang itulah yang menjadikannya seseorang yang lebih kuat untuk menjalani kehidupan mendatang.
Apa yang pasti, setiap yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Begitu juga yang dirasakan pelakon popular, Nelydia Senrose apabila menyentuh kisah percintaan dalam hidupnya. Jauh sekali pernah membayangkan bibit cinta yang dibina bersama pelakon Qi Razali empat tahun lamanya boleh terlerai sebegitu sahaja.
“Ketika itu memang rasa tertekan dan kecewa akibat putus cinta. Saya menangis, duduk dalam bilik kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Maklumlah, kita harapkan pengakhiran yang baik dengan perhubungan itu, tak sangka pula ia tidak kesampaian.
“Jika ingat semula rasa macam putus harapan pun ada. Apabila orang bertanya, kita mungkin boleh tipu orang lain yang kita okey, tetapi hakikat sebenar rasa keseorangan dan sunyi. Rahsia Allah itu besar. Mungkin Allah mahu menguji saya. Bahkan apa yang berlaku ini menjadikan saya lebih matang,” luah pelakon berusia 22 tahun itu ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di Swiss Garden Hotel & Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tak serik bercinta
Mengakui bukan mudah untuk mengubat hati yang terluka, kata Nelydia, hampir dua bulan lamanya dia cuba memencilkan diri dek terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ahli keluarganya sentiasa berada di sisi dan memberi semangat untuknya menghadapi semua itu.
“Saya banyak meluah perasaan saya pada kakak dan adik-beradik yang lain. Merekalah yang banyak pulihkan semangat.
“Waktu itu sampai pernah terfikir untuk pindah ke luar negara untuk lupakan apa yang terjadi. Syukur saya sedar apa yang saya alami ini bukanlah pengakhiran buat segala-galanya,” luah adik kepada pelakon Uqasha Senrose yang mencetuskan kontroversi dek isu pengakuan buka hijabnya baru-baru ini.
Hari ini dia masih Nelydia yang sama. Cuma bezanya, sudah beberapa bulan hatinya masih kosong. Belum terisi dengan mana-mana hati yang berjaya menerbitkan kembali rasa cinta. Sungguh pun begitu, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen itu memberitahu, pengalaman dikecewakan yang dilalui itu tidak pernah menutup pintu hatinya.
Bahkan, hatinya masih terbuka untuk menerima kedatangan cinta baharu. Cumanya, buat masa sekarang dia seronok menjalani kehidupan sebagai wanita solo yang bebas tanpa sebarang hubungan istimewa.
“Sekarang saya tengah seronok menjalani kehidupan solo tanpa terikat dengan mana-mana perhubungan.
“Kalau dahulu, ada orang tempat saya berkongsi cerita dengan orang tersayang, tetapi kini saya banyak berkongsi apa jua dengan ahli keluarga sendiri. Saya masih ada keluarga dan merekalah saya letakkan sebagai keutamaan dalam apa jua yang dilakukan,” kata pelakon drama Lara Terindah itu.
Gandingan Nazrief
Bercakap mengenai drama arahan sutradara Azmi Hatta itu, kata Nelydia, dia cukup selesa bergandingan dengan wajah baharu, Nazrief Nazri selaku heronya dalam naskhah tersebut.
“Saya pertama kali digandingan dengan Nazrief dalam drama itu. Bahkan, saya juga belum pernah bertemu dengan dia sebelum ini.
“Kalau dikira, rasanya saya tak banyak berlakon dengan orang baharu lagi, tapi saya berasa gembira dapat digandingkan bersama dengan pelakon pelapis baharu yang sama-sama mewarnai industri kita.
“Daripada situ juga kita dapat bertukar-tukar input antara satu sama lain,” katanya yang sudah sedekad menceburi dunia seni tanah air.
Kata Nelydia, drama itu cukup istimewa kerana ia mengangkat kisah pengorbanan dan perjuangan wanita yang tertindas untuk terus bangkit.
“Cerita ini lebih dekat dengan penonton kerana ia berkaitan dengan lumrah kehidupan yang kita lalui dalam setiap hari yang ada turun dan naiknya.
“Dari situ, dipaparkan semangat dan ketabahan untuk seorang wanita itu menghadapi apa jua rintangan. Jadi, secara tidak langsung ia dapat memberi pengajaran berguna kepada kita untuk tidak mudah putus asa. Begitu juga dengan soal cinta. Saya ini manusia biasa yang turut diuji dengan berbagai-bagai ujian,” ceritanya menutup bicara.
Sumber http://www.gengviral.com
0 comments